Saturday, February 04, 2006

Umpama Titanic terbakar' - mangsa - * Hampir 400 selamat * Nasib 800 tidak diketahui


BEBERAPA mangsa yang terselamat tiba di pelabuhan Hurghada, Mesir, semalam. - AP.
--------------------------------------------------------------------------------



HURGHADA, Mesir 4 Feb. - Beberapa mangsa feri yang dalam perjalanan dari Arab Saudi ke Mesir mendakwa kebakaran meletus dan berlarutan beberapa jam sebelum tenggelam.

Sebaik mula tenggelam, kapten feri itu juga didakwa meninggalkan mangsa dengan menaiki bot keselamatan.

Menteri Pengangkutan Mesir, Mohammed Lutfy Mansour berkata, pa-sukan penyiasat sedang menentukan kaitan antara kebakaran dan punca feri itu tenggelam.

Beliau menggambarkan kebakaran itu sebagai kecil dan tiada letupan berlaku ke atas feri itu sebelum ia tenggelam subuh semalam.

Ramai yang memberitahu kebakaran bermula pada awal pelayaran tersebut antara 90 minit atau dua setengah jam selepas berlepas, tetapi feri itu meneruskan perjalanan dan api masih marak untuk beberapa jam.

Penjelasan mereka berbeza mengenai tempat kebakaran itu berlaku dengan sebahagian mereka menyatakan ia berlaku di bilik setor atau bilik enjin.

``Dua jam selepas kami berlepas dari pelabuhan Dubah (di Arab Saudi), asap tebal kelihatan keluar dari bilik enjin,'' kata seorang penumpang dari Mesir, Raafat Al-Sayyed, 34.

Menurutnya, anak kapal mengarahkan penumpang naik ke anjung kapal supaya mereka boleh memadamkan kebakaran.

Sementara itu kapal mula senget dalam kedudukan yang berbahaya, kata Rafaat.

``Tetapi kebakaran berterusan untuk tempoh yang lama dan mereka (anak kapal) terus menyatakan mereka dapat mengawalnya,'' kata seorang lagi penumpang dari Mesir, Kamel Mohammad Abdel Askari, 48.

Kedua-dua mangsa itu yang dirawat di hospital di sini berkata, kapal yang didaftarkan di Panama itu meneruskan pelayaran dalam keadaan sendeng ke sebelah kiri sebelum tiba-tiba tenggelam dalam masa tidak sampai 10 minit.

Seorang mangsa, Nabil Zikry berkata: ``Mereka memutuskan untuk meneruskan pelayaran. Ia adalah kecuaian.''

``Ia seperti Titanic yang terbakar,'' jerit seorang yang lain apabila mereka dihalang daripada menemui wartawan.

Seorang lagi rakyat Mesir, Ahmed Elew berkata, dia pergi ke bahagian krew untuk melaporkan kebakaran itu, tetapi telah diminta membantu memadamkannya menggunakan hos air.

Pada satu ketika, berlaku letupan, tambah mangsa itu.

Apabila feri itu mula tenggelam, Ahmed Elew berkata, dia terjun ke laut dan berenang beberapa jam sebelum berjaya menaiki sebuah bot penyelamat.

``Di sekeliling saya, orang menemui maut dan tenggelam,'' katanya.

Keadaan cuaca juga mungkin menjadi satu faktor tragedi tersebut. Angin kuat bertiup dan ribut pasir melanda pantai barat Arab Saudi sepanjang malam.

``Mengapa anak kapal tidak mengawal kebakaran?'' tanya seorang penumpang yang dimasukkan ke hospital di pelabuhan Laut Merah, Hurghada, selepas mangsa mendakwa kebakaran berlarutan sekurang-kurangnya tiga jam sebelum kapal itu tenggelam.

Kapal itu dalam perjalanan balik menuju ke pelabuhan Safaga, 600 kilometer ke tenggara Kaherah apabila hubungan terputus sejurus selepas isyarat kecemasan terakhir diterima sekitar 10 malam semalam (4 pagi semalam waktu Malaysia).

Lebih 30 jam selepas kapal pesiaran Al-Salam Boccaccio 98 mengalami kesulitan, harapan untuk menemui lebih ramai mangsa yang selamat semakin tipis disebabkan cuaca buruk dan suhu air waktu malam yang sangat dingin.

Kontroversi sudah pun tercetus sama ada kapal berusia 36 tahun itu mematuhi peraturan keselamatan.

- Agensi

No comments: